Iklan

Gambar Pilihan

Gambar Pilihan
9

Isnin, 25 Februari 2008

Gaya Hidup Sihat

Islam sebagaimana yang difahami merupakan satu gaya hidup yang
lengkap dengan pelbagai panduan yang mencorakkan kesempurnaan
ajarannya. Oleh yang demikian, umat Islam sudah semestinyalah tidak
akan teraba-raba dalam mengharungi alam yang fana ini dalam keadaan
yang tidak pasti atau dalam keraguan. Ini termasuklah isu yang
berkaitan dengan seksualiti yang merupakan aspek kehidupan yang amat
peribadi bagi seseorang individu itu. Islam sentiasa cuba memberi
panduan untuk mereka agar tidak timbul rasa bersalah di kemudian
hari.

Remaja pula merupakan satu kelompok masyarakat yang amat besar
nilainya bagi umat Islam. Mereka adalah bakal pemimpin dan pendakwah
yang akan meneruskan kesinambungan masyarakat dan tamadun bangsa
mereka. Sebagai pemimpin dan pembela di masa yang akan datang, mereka
itu wajar dibela dan dipelihara sebaik mungkin. Di samping
menyediakan suasana yang mampu meningkatkan potensi perkembangan dan
kecemerlangan diri mereka, para remaja juga hendaklah dididik dan
ditunjuk ajar tentang pelbagai perkara yang baik. Mereka juga
hendaklah diasuh untuk sentiasa meningkatkan keupayaan diri sendiri
dengan memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan maklumat
yang baik serta kemahiran-kemahiran tertentu.

Era globalisasi kini telah mendedahkan para remaja dengan pelbagai
gaya hidup dan persekitaran yang amat luas dan mencabar. Cabaran dan
dugaan yang luas ini adalah tidak terhad, termasuklah aktiviti
kehidupan peribadi mereka yang berkait dengan aktiviti seksualiti. Ini
merupakan satu isu kerana para remaja pada era ini lebih terdedah
dengan implikasi berkaitan aktiviti seksual. Pada asasnya, aktiviti
seksual remaja kini berlaku akibat daripada aktiviti gaya hidup
bersosial yang terlalu bebas dan tiada had. Kajian klinikal di
Amerika mendapati bahawa golongan remaja dan belia yang berusia
antara 17 dan 30 tahun adalah golongan yang paling ramai dijangkiti
pelbagai penyakit jangkitan seks. Trend ini dijangka akan berterusan
memandangkan remaja adalah golongan yang paling aktif dan seterusnya
menjadikan mereka sebagai golongan yang paling berisiko tinggi
dijangkiti penyakit kelamin. Selagi perubahan gaya hidup sihat tidak
diamalkan, para remaja akan terus menjadi kumpulan utama dijangkiti
pelbagai penyakit jangkitan seks dan juga kumpulan teramai yang
menyebarkan penyakit jangkitan seks dalam masyarakat.

Gaya hidup sihat adalah gaya hidup yang mengutamakan amalan
kesihatan dan pencegahan jangkitan penyakit. Trend semasa menunjukkan
bahawa kebanyakan penyakit merbahaya berlaku akibat daripada amalan
gaya hidup yang tidak sihat. Malah, kebanyakan jangkitan oleh
bakteria, virus dan kulat juga disebarkan oleh aktiviti gaya hidup
yang tidak sihat ini. Sebagai contohnya, penyalahgunaan dadah boleh
menyebarkan HIV yang mengakibatkan AIDS. Ketagihan alkohol pula boleh
menyebabkan penyakit kongenital, sindrom otak organik dan lain-lain.
Perlakuan seks bebas boleh menyebabkan jangkitan penyakit kelamin
seperti syphilis, gonorrhea, chlamydia, herpes dan sebagainya,
termasuklah AIDS. Gaya pemakanan yang tidak seimbang pula boleh
menyebabkan penyakit kardiovaskular, obesity, kencing manis, darah
tinggi dan sebagainya.

Di seluruh dunia, amalan gaya hidup seks bebas dan tidak sihat telah
menjadi punca utama pelbagai penyakit jangkitan seks seperti yang
telah disebutkan di atas. Dan kini, insiden ini amat ketara pula di
kalangan remaja. Menurut anggaran WHO atau World Health Organization,
setiap tahun, setiap seorang daripada 20 orang remaja akan dijangkiti
penyakit kelamin. Dan daripada 333 juta kes baru penyakit jangkitan
kelamin, 111 juta kes berlaku di kalangan belia berusia bawah 25
tahun. Jangkitan syphilis akan meningkat ke tahap tertinggi bagi
golongan berusia antara 15 dan 30 tahun berbanding kumpulan umur
lain. Setiap tahun, purata lebih daripada separuh kes baru HIV adalah
di kalangan belia berusia antara 15 dan 24 tahun. Di Amerika,
terdapat 2 kes baru jangkitan HIV dalam tempoh satu jam, manakala di
Malaysia terdapat 13 jangkitan baru setiap hari, sebagaimana menurut
Kementerian Kesihatan (BH, Mei 17, 1999).

Trend ini akan berterusan dan akan menjadi bertambah buruk melainkan
amalan gaya hidup sihat menjadi teras kehidupan. Islam sememangnya
sudah menyediakan garis panduan tersendiri sebagai asas kepada amalan
gaya hidup yang sihat ini terutamanya dalam mencegah penyakit
jangkitan kelamin. Dalam al Quran, surah Al Isra', ayat 32 bermaksud

`dan janganlah kamu hampiri zina, kerana ia adalah seburuk-buruk
perbuatan, yang membawa kepada kejahatan'.

Daripada ayat ini, dengan tegas Allah memerintahkan umat Islam supaya
menjauhkan diri daripada perzinaan, apatah lagi melakukannya. Ayat
ini juga melarang manusia mendekati sebarang punca yang boleh membawa
kepada terjadinya zina. Mereka ditegah sama sekali melibatkan diri
dengan perkara-perkara yang mencetuskan zina seperti menonton filem
atau membaca majalah lucah, bercerita tentang sesuatu yang lucah,
menjual atau membeli barangan berunsur kelucahan, bercampur gaul
dengan bebas antara lelaki dan perempuan, memberi isyarat berunsur
seks dan sebagainya. Semua faktor ini mendorong kepada perlakuan seks
yang tidak sihat. Lebih baiklah menjauhi semua perkara ini sebelum
terjadinya perzinaan.

Pendekatan yang diberikan oleh Islam ini lebih bersifat
behavioristic dan praktikal serta menjurus kepada kaedah pencegahan.
Ia menuntut agar umat manusia tidak membiarkan diri mereka terjebak
ke kancah perzinaan dan kemaksiatan yang jika terjadi akan membawa
kepada pelbagai implikasi buruk yang mungkin akan melibatkan
perbelanjaan, usaha dan tenaga yang banyak bagi tujuan rawatan dan
perubatan. Malah, kadang kala nyawa pula yang akan menjadi
pertaruhannya.

Remaja pula sebagai satu kelompok yang kurang matang (walaupun waras)
sering gagal menilai implikasi tersebut. Apa yang terlintas di
fikiran mereka hanyalah keseronokan tanpa menilai risiko dan kerugian
yang akan dialami kemudian. Berfikirlah, apakah mereka sekadar ingin
menikmati keseronokan yang sementara sifatnya tetapi akhirnya
terpaksa menanggung kerugian dari segi kewangan, kesihatan dan
mungkin nyawa. Amalkanlah gaya hidup sihat sebagaimana yang telah
diajar oleh Islam.

Adakah masalah kesihatan mengganggu hubungan anda? Dapatkan tips, nasihat & panduan kesihatan secara PERCUMA

Tiada ulasan:

Iklan

IPMart Online Shopping
Belian dalam RM

Jom Borak


Free chat widget @ ShoutMix

Kerana Agama...

Kerana Agama...
Imam Nawawi