Iklan

Gambar Pilihan

Gambar Pilihan
9

Selasa, 13 Mei 2008

Bertudung Tapi Buat Jahat, Tak Bertudung Tapi Baik

Saya pasti satu perkara, tudung yang dipakai tentunya bukan sesuatu yang menggalakkan mereka berkelakuan tidak senonoh. Samada bertudung atau tidak, kalau sudah dikuasai nafsu maka terjerumuslah ia. Maka tidak sepatutnya tudung dipersalahkan. Suka untuk saya membawa satu lagi analogi:


Sekiranya kita ke pasar dan dikehendaki membeli buah mangga. Buah mangga manakah yang kita akan pilih? Yang baik diluar tetapi isinya busuk di dalam, yang buruk di luar tetapi isinya manis di dalam atau yang kulitnya cantik diluar dan isinya manis di dalam?

Manusia normal tentu sekali inginkan yang cantik kulitnya serta manis isinya. Maka saya mengajak semua yang ber
tudung agar menjaga kehormatan, jangan menjadi seperti mangga yang cantik kulitnya tetapi busuk isinya. Manakala saudari-saudari yang ku kasihi yang masih belum bertudung tetapi baik budi pekerti, jom menjadi mangga yang manis isi dalamnya dan cantik kulit luarnya, cantik dengan bertudung.

Bila bercerita isu tudung maka ramai saya lihat akan menyatakan bahawa tudung itu wajib, itu arahan Allah Subhana wa ta’ala dan sebagainya. Namun adakalanya tiada siapa mengeluarkan bukti perintah tersebut wajib. Seharusnya dalam kita memperkatakan sesuatu hukum perlulah dikemukakan buktinya. Sebelum kita berbicara isu tudung bagi perempuan, sebenarnya sebelum Allah Subhana wa Ta’ala menyuruh wanita berhijab, tuntutan ‘hijab’ mula-mula sekali dikenakan kepada lelaki dahulu. Di dalam surah an-Nur ayat 30, Allah berfirman:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
[an-Nur 24:30]

Kemudian barulah kepada kaum hawa, di dalam surah an-Nur ayat 31, Allah berfirman:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup dada dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka.
[an-Nur 24:31]

Dalam berpakaian, yang berbeza antara lelaki dan perempuan hanyalah batas aurat yang mana bagi lelaki batas minimumnya dari pusat ke lutut manakala perempuan pula perlu melabuhkan pakaian ke seluruh badan dan hanya boleh menampakkan kedua muka dan tangan hingga pergelangan (sesetengah ulamak membolehkan bahagian tumit kaki juga; rujuk Majmu' Fatawa Ibn taimiyah, Juz 22, ms. 114-115). Larangan selebihnya, yang mana tidak boleh terlalu ketat, tidak boleh menunjuk-nunjuk, tidak boleh kelihatan jarang dan sebagainya ditujukan buat kedua-dua jantina bukan perempuan sahaja.

Dalam berbincang isu
tudung biasanya kita selalu stereotaip, apabila perempuan tidak menutup aurat maka kita begitu agresif tetapi tidak apabila lelaki sendiri tidak menutup auratnya. Pertandingan ratu cantik diharamkan tetapi pertandingan bina badan yang menonjolkan bahagian-bahagian tidak sepatutnya tidak pernah menerima tamparan agresif. Saya bersetuju diharamkan pertandingan ratu cantik yang mengeksploitasi maruah wanita tetapi pada masa sama meminta semua orang berlaku adil dalam penilaian mereka terhadap aurat.

IMEJ WANITA BAIK-BAIK DAN MENCEGAH GANGGUAN

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu… [al-Ahzab 33:59]

Jika kita ambil dua orang kembar yang sama seiras, sama rupa dan bentuk badan. Seorang memakai
tudung dan menutup aurat dengan sempurna manakala seorang lagi berpakaian mendedahkan auratnya, seksi dan mengancam dengan miniskirt dan tube ketat. Di satu sudut jalan terdapat ‘kutu’ yang menanti peluang mengacau perempuan, siapakah yang akan diganggu? Yang bertudung dengan sempurna atau yang seksi dengan skirt pendek dan tube itu? Pakaian yang mendedahkan apa yang sepatutnya disembunyikan tentu mempunyai risiko paling tinggi dicabul berbanding yang menutup auratnya dengan sempurna.

BERHIJAB TAPI KENA ROGOL JUGA

Suka untuk saya analogikan situasi ini. Bayangkan ada tiga buah rumah. Pada musim perayaan ketiga-tiga penghuni rumah itu pulang ke kampung. Rumah yang pertama dibiarkan tidak berkunci dan terdedah. Rumah yang kedua berkunci tetapi tidak rapi, rumah yang ketiga pula berkunci kemas siap dengan sistem pengera.

Seandainya rumah pertama (tidak berkunci) itu dimasuki pencuri, maka apakah kesalahan sepenuhnya kepada pencuri? Tuan rumah itu juga salah kerana membiarkan rumahnya tidak berkunci rapi dan mendedahkan rumahnya kepada risiko bahaya.

Seandainya rumah kedua (berkunci tetapi tidak rapi) itu dimasuki pencuri, tuan rumah telah mengambil langkah sewajarnya tetapi tidak betul-betul rapi dan secara tidak langsung mendedahkan kepada sedikit risiko bahaya rompakan.

Seandainya rumah ketiga, berkunci rapi ditambah dengan sistem pengera pun dimasuki perompak, maka tentulah kesalahan sepenuhnya adalah kepada perompak tadi. Tuan rumah telah berusaha sehabis baik. Mencegah sebaik mungkin. Rumah begini tidaklah dinafikan berpeluang dimasuki pencuri juga namun peluangnya sangat tipis dan hampir tiada.

Rumah yang terdedah tidak berkunci tadi boleh kita samakan dengan perempuan yang tidak menjaga auratnya, manakala yang berkunci tetapi tidak rapi itu pula wanita yang tidak sempurna menutup aurat manakala rumah yang berkunci rapi dengan sistem pengera itu boleh dikiaskan kepada wanita yang lengkap menutup aurat dengan sempurna. Peratus wanita yang menutup aurat dengan sempurna dicabul tentu sekali sangat-sangat rendah dan saya percaya hampir sifar berbanding yang lain.

HIJAB MERIMASKAN, BEGITU JUGA TOPI KELEDAR

Saya faham sesetengahnya merasakan rimas untuk berhijab menutup aurat. Saya sendiri yang sekadar berkopiah apabila di bawah matahari pun adakalanya terasa rimas. Namun suruhan berhijab kepada perempuan-perempuan mukmin mempunyai kebaikannya. Allah Subhana wa Ta’ala sebagai Pencipta tentu sekali lebih tahu akan apa yang terbaik kepada makhluk ciptaannya. Kita ambil contoh pemakaian topi keledar bagi yang bermotosikal.

Memakai topi keledar sememangnya merimaskan, tetapi kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang mewajibkan penunggang motosikal untuk memakainya kerana dari kajian terperinci jelas bahawa memakai topi keledar dapat mengelakkan daripada musibah besar jika berlaku kemalangan. Kerajaan menguatkuasakan undang-undang pemakaian topi keledar tentunya kerana khuatir keselamatan penunggang motosikal dan bukanlah kerana seronok menindas penunggang motosikal. Ya benar, terdapat juga mereka yang memakai topi keledar maut di dalam kemalangan. Namun bilangannya sedikit berbanding yang tidak bertopi keledar. Bilangan yang memakai topi keledar tetapi tidak memakainya dengan betul tentu bilangan yang maut lebih tinggi dari yang memakai dengan elok. Pemakaian topi keledar itu adalah usaha mencegah bukannya merawat.

Hijab atau tudung boleh kita kiaskan kepada topi keledar tadi.

Cerita perempuan bertudung buat itu ini tersebar saya percaya kerana ianya sensasi. Saya berikan analogi, seandainya selepas saya balik daripada pejabat, saya menaiki PUTRA ke KL Central, saya ambil bas ke Putrajaya dan saya selamat sampai ke Putrajaya. Saya pasti tidak ada suratkhabar atau sesiapa pun ambil peduli nak buat laporan cerita di atas. Tetapi sekiranya dalam perjalanan menaiki bas, saya terjun dari bas yang bergerak sambil menjerit2 melaungkan menuntut hak kebebasan bersuara dan cedera parah (nauzubillah). Esoknya pasti saya terkenal di dada2 akhbar atau menjadi buah mulut kerana kebodohan itu. Mengapa? Kerana cerita biasa tiada siapa ambil peduli, berbeza dengan cerita sensasi. Saya pasti ada ramai gadis bertudung di luar sana yang baik, mereka tidak sensasi. Tetapi gadis bertudung yang rosak akhlak walaupun sikit, mereka sensasi untuk jadi cerita. Dan bagi yang melihat secara negatif, boleh dijadikan modal tak pakai tudung lagi baik dari yang pakai tudung walaupun hakikatnya yang sebegitu sedikit je.

Kedua, sesetengah masyarakat mengambil atau menekankan Islam separuh2. Mereka ajar anak pakai tudung tapi tidak terapkan akhlak mulia dan kemantapan aqidah. Kalau dilihat ayat yang mewajibkan pemakaian
tudung (saya prefer sebut hijab) menyebut:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup dada dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka. [an-Nur 24:31]

Dari ayat itu, Menjaga pandangan + Menjaga kehormatan + Menutup aurat = Muslimah solehah.

Wallahua'lam

Tiada ulasan:

Iklan

IPMart Online Shopping
Belian dalam RM

Jom Borak


Free chat widget @ ShoutMix

Kerana Agama...

Kerana Agama...
Imam Nawawi