Iklan

Gambar Pilihan

Gambar Pilihan
9

Jumaat, 6 Jun 2008

Suri Rumah Juga Layak Bergaya - Panduan Memilih Pakaian Untuk Wanita Gempal Dan Surirumah

BENARKAH hanya wanita cantik dan berkarier sahaja yang layak bergaya dengan fesyen-fesyen terkini, sebaliknya kurang penting kepada golongan suri rumah?

Mungkin ramai yang bersetuju, namun bagi Pengasas FTIM Designing Centre, Rosita Ja’afar, beliau ada alasan tersendiri untuk menyatakan ‘tidak’ kerana baginya berfesyen tidak terbatas kepada wanita daripada golongan tertentu sahaja, malah surirumah juga ada hak untuk bergaya.

Menurutnya, wanita berfesyen bukan sahaja untuk diri sendiri, lebih penting untuk menarik perhatian kaum sejenis mereka.

“Wanita berfesyen lazimnya lebih berkeyakinan, disenangi dan mudah didekati rakan-rakan lain, berbanding mereka yang kurang bergaya dan kelihatan selekeh,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Secara fitrah, kata Rosita keinginan seorang wanita untuk berfesyen dan kelihatan cantik sentiasa berterusan, begitu juga surirumah yang sebahagian besar masa mereka sibuk menguruskan rumahtangga dan anak- anak.

Sayang sekali mereka tidak tahu memilih fesyen sesuai mengikut bentuk badan serta tempat yang hendak dituju, sedangkan fesyen pakaian yang terdapat di pasaran sekarang lebih kepada wanita langsing dan berkulit cerah.

Beliau bagaimanapun tidak menolak hakikat seiring peningkatan usia, perubahan fizikal terutama bahagian pinggul ke bawah terpaksa dihadapi kebanyakan wanita.

Rosita yang sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia fesyen menegaskan ramai suri rumah berasa rendah diri kerana penampilan mereka tidak setanding wanita lain.

Begitupun, kata Rosita keadaan itu bukan satu masalah yang perlu ditangisi sebaliknya perlu dilihat dari sudut positif, meletakkannya sebagai cabaran, lantas mempelajari teknik bagi `melindungi’ kekurangan ada melalui cara berpakaian yang betul.

“Setiap wanita dilahirkan dengan keistimewaan diri masing-masing dan terpulang kepada mereka bagaimana untuk menonjolkannya.

Kelebihan

“Menjadi suri rumah tidak bermakna anda tidak perlu berfesyen dan berhias, sebaliknya anda mencari kelebihan diri yang ada,’’ ujarnya.

Membincangkan lebih lanjut, kata beliau langkah pertama yang perlu dilakukan cuba mengenali diri sendiri.

Jika seseorang itu berjaya mewujudkan imej positif dalam dirinya, maka orang lain yang memandang akan melihat dari sudut positif, begitu juga sebaliknya.

“Apa yang paling penting mengenali bentuk badan sendiri dan pilih jenis pakaian sesuai untuk diri sendiri serta selesa apabila digayakan,’’ ujarnya.

Untuk kelihatan cantik dan bergaya seseorang itu tidak semestinya perlu mengeluarkan belanja yang tinggi, semuanya terpulang kepada kebijaksanaan memilih jenama dan fabrik mengikut trend terkini.

Apa yang perlu diketahui juga katanya, pemilihan pakaian setiap hari juga bergantung kepada `mood’ seseorang. Ini kerana setiap hari seseorang itu tidak akan memakai pakaian yang sama dari segi corak, warna dan potongan.

Dari segi pemilihan warna pula katanya, terdapat empat jenis warna iaitu complementry, tridic, analagous dan monoehormatic.

Sementara dari segi gaya, seseorang itu boleh memilih untuk memilih gaya romantik, gaya etnik, klasik, kasual dan dramatik.

Tegas beliau lagi, andaian bahawa warna kulit yang cerah sesuai memakai pakaian, mekap atau aksesori dalam semua jenis warna kurang tepat. Begitu juga andaian orang berkulit gelap hanya sesuai memakai warna lembut juga tidak dapat diterima pakai sepenuhnya.

“Ada ketikanya, kita mahu kelihatan segar dan aktif, lalu kita mengenakan warna terang yang kita rasakan ceria. Langkah ini betul namun perlu berhati-hati agar kita tidak memilih warna yang dapat menimbulkan kejanggalan dengan warna tubuh.

“Seharusnya pilih warna yang betul agar kelihatan natural dan harmoni,’’ ujarnya sambil menegaskan pengetahuan asas ini penting bagi menangani kekecewaan seseorang mencari jenis fesyen yang sempurna dan sesuai dengan bentuk tubuh.

Panduan memilih pakaian untuk wanita gempal dan suri rumah

* Digalakkan memakai tiga lapis iaitu tank-top dan over coat padanan dengan A line skirt atau seluar.

* Sebaiknya pilihan warna merah jambu, biru cair dan hijau, jingga, coklat atau kuning gelap.

* Warna gelap untuk bahagian bawah pakaian bagi menghasilkan kesan minimum agar tubuh kelihatan lebih tinggi. Ia adalah ilusi terbaik mendapatkan potongan menarik.

* Selain jalur, motif tertentu khususnya yang berbentuk menegak seperti jaluran menegak membantu untuk membuatkan punggung kelihatan lebih kecil. Paling elok untuk padanan bawah.

* Walaupun aksesori tali pinggang aliran terkini, tetapi elakkan mengenakan ia dengan terlalu ketat, sebaliknya kenakan di bahagian pinggul saja, kerana ia mengelakkan daripada punggung anda kelihatan lebih lebar dan besar.

* Menepati padanan dan jenis pakaian yang sesuai.

* Menonjolkan personaliti anda melalui koleksi pakaian almari, menjauhi daripada berbelanja lebih.

* Menyusun semula kombinasi koleksi fesyen hingga ke tahap maksimum agar dapat digunakan sebijaknya.

* Berpakaian dengan yakin walau apa juga keadaan.

Tiada ulasan:

Iklan

IPMart Online Shopping
Belian dalam RM

Jom Borak


Free chat widget @ ShoutMix

Kerana Agama...

Kerana Agama...
Imam Nawawi