Iklan

Gambar Pilihan

Gambar Pilihan
9

Jumaat, 12 September 2008

Jangan Kehilangan Identiti Demi Cinta



Pasangan bercinta tidak perlu semuanya serupa, cinta harus complement each other dan bukannya kamu bertukar menjadi dia. Sering pasangan yang sedang bercinta kehilangan identiti kerana ingin membuktikan bahawa kamu mempunyai minat yang sama. Malah mereka ini akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan mereka dilihat sebagai pasangan bahagia, serasi bersama dan tiada perselisihan faham yang terjadi dan kelihatan saling memahami. Dalam proses untuk mengekalkan cinta yang ada, masing-masing berusaha untuk memuaskan hati seorang yang lain sehingga kehilangan diri sendiri, hilang identiti diri.


Sering terjadi di dalam perhubungan di mana kalau kau suka rock, aku pun suka muzik yang sama sedangkan hakikatnya hatiku mencintai irama dangdut. Namun, tidak berani aku mengakui yang aku meminati alunan dangdut kerana aku gusar kau akan mempersendakanku. Terdengar lagu dangdut ketika bersamamu, kakiku terangkat-angkat ingin menari tetapi ku tahan jiwa ini tanpa kau ketahui. Aku memaksa diri ini mendengar muzik bising yang kau gemari sedangkan rock itu aku benci, alasannya kerana aku ingin memahami. Jika kau suka bola, aku pun kaki juga, aku sanggup duduk bersamamu menikmati match of the season sedangkan hatiku boring separuh mati menunggu game itu tamat. Kerana kau seorang yang tidak suka menunggu, aku korbankan sifatku yang gemar berdandan dan hanya mengenakan pakaian simple tanpa solekan agar kau tidak rimas menunggu aku. Aku ketepikan teman-temanku hanya untuk menghabiskan masa bersamamu kerana aku sedar tanggungjawabku. Aku berkorban agar kau mengejar impianmu lantas aku pendamkan keinginanku dalam-dalam untukmu. Akhirnya aku terlupa siapa diriku, lupa impian yang aku pernah ada, tidak ingat yang aku sebenarnya masih ada jiwa.


Kehilangan identiti dalam perhubungan ini selalu disedari oleh ahli keluarga terdekat dan mereka yang tersayang kerana mereka sedar perubahan diri yang berlaku pada dirimu. Mereka yang kehilangan identiti jarang menyedari perubahan yang berlaku kerana mereka bina tembok yang menafikan apa yang sedang berlaku, mengambil alasan bahawa kau menjaga keharmonian perhubungan.


Bercinta itu seharusnya memberi ruang kepada individu untuk membebaskan jiwa daripada ketakutan, memberi keyakinan dan keselesaan untuk kau menjadi diri sendiri ketika bersama dengan pasanganmu. Dengan si dia, seharusnya dirimu dapat berkongsi segalanya tanpa ada rasa serba salah. Memang benar dalam setiap perhubungan, kompromi itu penting supaya keamanan dapat dikekalkan tetapi pasangan perlu menjaga keseimbangan antara kompromi dan kepentingan diri agar identiti tidak lari. Cinta itu harus menyayangi dan menghargai. Salah apabila seorang pasangan melakukan segalanya demi seorang yang lain tanpa memikirkan tentang apa yang dirinya inginkan, berkompromi dalam terpaksa atau memendam perasaan atas nama pengorbanan, tidak akan membahagiakan kerana apabila seseorang berkorban, secara tidak langsung hati akan mengharapkan pembalasan. Kau akan menjangkakan bahawa si dia akan memahamimu apabila kau memerlukan, dan jika dia tidak hadir ketika diperlukan, akibatnya samada kau berduka atau jiwamu akan diselimuti rasa sakit hati umpama bom jangka yang menunggu masa.


Di dalam percintaan, benarkan hatimu mendengar apa yang benar. Hati tidak akan bahagia jika hanya perhatian diberikan kepada si pasangan. Walau bagaimana keras diri ingin menyakinkan bahawa wujudnya kebahagiaan, kata hati tidak pernah boleh ditipu. Jangan sesekali takut untuk menjadi tidak sempurna ketika bersama pasanganmu kerana jika kau dan dia benar-benar bercinta, ketidaksempurnaan itulah yang menjadikan cinta itu sempurna, dia dapat melihat dirimu seadanya dan masih menyayangi. Jangan takut untuk menonjolkan dirimu dan mencari apa yang kau mahu dalam hidup ketika kau sedang mencintai si dia kerana seseorang pasangan itu perlu memberi galakan, memberi sokongan dan dorongan untuk melihat cintanya mekar sebagai seorang insan.


Biarkan ‘cinta’ itu pergi jika ia menyebabkan kau kehilangan identiti, cinta yang asli tidak akan pernah menidakkan kewujudan dirimu yang begitu istimewa.

Tiada ulasan:

Iklan

IPMart Online Shopping
Belian dalam RM

Jom Borak


Free chat widget @ ShoutMix

Kerana Agama...

Kerana Agama...
Imam Nawawi