Iklan

Gambar Pilihan

Gambar Pilihan
9

Rabu, 14 Januari 2009

Didik Anak Mengikut Usia

Oleh ROSLAH OTHMAN

MEMIKUL tanggungjawab menjadi ibu dan bapa bukan satu perkara yang mudah. Matlamat keibubapaan itu sendiri perlu diketahui supaya anak dapat dibimbing untuk mencapai potensi menjadi insan yang berguna, bertanggungjawab dan produktif.



Penceramah Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Rahmah Othman berkata, dalam konsep keibubapaan sendiri, bapa adalah ketua dan pemimpin keluarga, manakala ibu sebagai pembantu bapa dalam pengurusan keluarga dan rumah tangga serta menjadi pemimpin semasa ketiadaan bapa.

Dalam cabaran masa kini, ibu bapa perlu ada anjakan paradigma supaya dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih baik lagi.

Rahmah berkata, dalam mendidik anak, terdapat tahap-tahap tertentu yang perlu diketahui dan diikuti oleh setiap ibu bapa.


‘‘Anak berusia satu hingga tujuh tahun perlu dididik secara bergurau dan jangan dipukul. Bagi anak berusia lapan hingga 14 tahun, sebaiknya didik mereka dengan disiplin, tunjuk ajar dan kasih sayang.


‘‘Sementara di peringkat remaja iaitu 15 hingga 21 tahun, anak harus dididik macam kawan, jangan dirotan dan dimarah. Sebaliknya, peluk, pujuk dan nasihati mereka. Manakala selepas usia 21 tahun, ibu bapa perlu memberi kebebasan mereka membuat keputusan dan tindakan,’’ ujarnya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Ibu bapa Teman Sejati’ pada Kursus Bersiri Pembangunan Keluarga Ilmu Keluarga @ LPPKN bertajuk "Anakku, Kalian Segalanya" di Bangunan LPPKN, baru-baru ini.


Menerangkan lebih lanjut mengenai mendidik anak, khususnya anak remaja, perhubungan dan interaksi positif ibu bapa dengan anak perlu ada. Ia termasuk saling menghormati, sedia mendengar, memberi galakan dan sokongan serta menerima anak itu sebagai individu yang istimewa.

Katanya, peringkat usia 10 hingga 19 tahun merupakan masa yang paling kritikal kerana remaja akan mengalami pelbagai perubahan dan perkembangan meliputi perubahan fizikal, mental, psikologi, emosi dan sosial.

‘‘Pada peringkat usia ini mereka akan menghadapi pelbagai persoalan yang menekan jiwa. Ketika ini jugalah proses mencari dan membentuk identiti, perubahan fizikal pada tubuh badan, perasaan yang bercelaru dan keinginan untuk dihargai boleh menyebabkan berlaku tekanan jiwa,’’ ujarnya.

Menerangkan mengenai remaja berumur 10 hingga 14 tahun kata Rahmah, di peringkat itu mereka lazimnya, bersifat logikal, sentiasa ingin tahu, suka bertanya itu dan ini, lasak, bertenaga, suka meneroka cabaran, namun masih bersifat keanak-anakkan.

Pada peringkat inilah, kata beliau hubungan dengan keluarga amat penting, termasuk keinginan untuk mereka berbincang dengan ibu bapa masih ada. Sementara remaja peringkat pertengahan 14 hingga 17 tahun mereka mula utamakan rakan sebaya daripada keluarga. Remaja peringkat ini dikatakan suka memaksa dan mendesak.

Malah, di peringkat ini juga mereka mula mencari identiti diri dengan cuba membentuk peribadi menjelang kedewasaan.

Di peringkat ini, kata Rahmah, jika remaja tidak dibimbing dengan sewajarnya, kemungkinan untuk mereka terlibat dengan gejala tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, seks bebas dan lari dari rumah adalah tinggi.


Sementara, peringkat 17 hingga 19 tahun, kata Rahmah, mereka lazimnya telah mengenali dan menghayati identiti diri yang sebenar. Ikatan dengan rakan sebaya semakin berkurangan dan beralih kepada individu berlainan jantina. Malah di peringkat ini keupayaan mereka untuk berfikir juga lebih terbuka dan mula berfikir untuk masa depan.

‘‘Remaja di peringkat ini bukan sahaja boleh berdikari tanpa ibu bapa, tetapi juga daya fikiran dan imaginasi digunakan untuk kepentingan pelajaran dan kerjaya,’’ terangnya.


Remaja di peringkat ini juga, kata Rahmah, sememangnya memerlukan perhatian dan tumpuan. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa atau mempunyai ruang untuk mendekati dan mendampingi anak remaja mereka.


Malah ibu bapa juga perlu bertanggungjawab untuk mengetahui apa yang anak sedang buat, apa yang anak sedang difikirkan, apa yang ada dalam begnya, apa yang disembunyikan, siapa kawan-kawannya dan di mana tempat yang dikunjunginya.


Menerangkan beberapa cara menzahirkan kasih sayang kepada anak remaja, beliau menjelaskan ia termasuk melalui percakapan, pujian, pengiktirafan, bergurau senda dan ucapan yang baik. Malah ia juga boleh ditunjukkan melalui perlakuan atau gerakan badan, bersalaman, memeluk, mencium, memberi hadiah, beriadah bersama dan saling menghormati.

Dalam masa sama, ibu bapa sewajarnya mengambil inisiatif menerangkan atau menjelaskan mengenai peraturan berkaitan sentuhan. Akibat terlalu naif, ada remaja terlibat dengan gejala itu sekadar ingin mencuba tanpa memikirkan risiko yang akan ditanggung.

‘‘Anak-anak perlu diterangkan tubuh mereka adalah milik mereka sahaja, tidak siapa berhak menyentuh bahagian sulit tubuh mereka kecuali bagi tujuan kebersihan atau kesihatan. Begitu juga tiada siapa berhak meminta menyentuh bahagian sulit tubuh mereka.

‘‘Malah jika mereka tidak berasa selesa apabila disentuh seseorang, katakan ‘tidak’, lari dan beritahu orang lain yang dipercayai,’’ ujarnya sambil menegaskan anak-anak juga perlu diterangkan tentang bagaimana membezakan antara sentuhan selamat, selesa dan sebaliknya.

Dalam ceramahnya juga Rahmah turut menerangkan bagaimana terdapat empat gaya keibubapaan yang menjadi amalan ibu bapa hari ini tanpa disedari amat mempengaruhi seorang anak itu.

Empat jenis yang dimaksudkan, jenis A Autoritarian (tinggi kawalan, rendah kasih sayang), jenis B-Permisif (rendah kawalan, tinggi kasih sayang), jenis C-Pengabaian (rendah kawalan, rendah kasih sayang ) dan jenis D-Autoritatif (tinggi kawalan, tinggi kasih sayang).


Berbanding jenis A, B dan C, jenis D iaitu Autoritatif yang lebih berasaskan konsep demokratik seperti kesamarataan dan amanah lebih berjaya membimbing anak-anak ke arah pencapaian potensi mereka sebagai individu yang bertanggungjawab, berdikari, produktif dan berakhlak mulia.

‘‘Ibu bapa yang menggunakan pendekatan jenis D dalam mendidik anak merupakan ibu bapa yang seimbang memberi sepenuh perhatian terhadap keperluan anak-anak dan meletakkan batasan yang jelas terhadap tingkah laku anak-anak. Ibu bapa ini membuat keputusan berdasarkan keperluan, bukan keinginan atau nafsu anak-anak,” katanya.

Tiada ulasan:

Iklan

IPMart Online Shopping
Belian dalam RM

Jom Borak


Free chat widget @ ShoutMix

Kerana Agama...

Kerana Agama...
Imam Nawawi