Iklan

Gambar Pilihan

Gambar Pilihan
9

Selasa, 10 Februari 2009

Bagaimana Menemuduga Pengasuh dan Pembantu Rumah

1. Pertama sekali, tanya mengenai pekerjaannya yang terakhir, berapa lama dia telah bekerja di sana dan mengapa dia berhenti.

Jika ini ialah pekerjaannya yang pertama, tanya di mana dia belajar dan apa kelayakannya, jika ada (lihat di akhir artikel untuk mengetahui beberapa bidang dan kelayakan).

Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting daripada kelayakan ialah memilih pengasuh atau pembantu rumah yang mesra, periang, bersimpati dan benar-benar sukakan kanak-kanak.


2. Anda tentu sekali perlu bertanya jika dia mempunyai sokongan dari mana-mana pihak, dan jika dia membawa surat akuan bersamanya. Dapatkan nombor telefon dan alamat orang yang menyokong supaya anda boleh menelefon atau menulis surat kepada mereka untuk maklumat tambahan.


3. Jika dia berpakaian cantik untuk temuduga (seperti kebiasaannya), adakah dia memakai seluar jean atau seluar panjang semasa bekerja?

Dalam ertikata lain, adakah dia bersedia untuk bermain dengan anak-anak anda? Pembantu rumah dan pengasuh yang terbaik adalah yang sanggup berguling di rumput dengan anak-anak anda dan duduk di atas pasir bermain dengan mereka!


4. Pernahkah dia bekerja dengan kanak-kanak yang sebaya dengan anak-anak anda sebelum ini?


5. Adakah dia mempunyai banyak idea untuk menghiburkan anak-anak anda?

Anda boleh meminta dia memberikan beberapa contoh apa yang boleh dilakukannya, atau projek yang dia hendak jalankan dengan anak-anak anda. Idealnya, aktiviti-aktiviti ini tidak memerlukan perbelanjaan yang besar! Jika dia mempunyai banyak idea untuk menghiburkan anak-anak anda pada hari hujan, dia ialah seorang pengasuh yang bagus!


6. Adakah dia mempunyai latihan dalam pertolongan cemas? Jika tidak, adakah dia bersedia untuk menghadiri sesi latihan pada waktu malam?

Tanya soalan-soalan yang spesifik seperti ‘Jika bayi terjatuh dari tangga dan tidak bergerak, apa yang perlu anda lakukan?’


7. Adakah dia seorang perokok?


8. Bolehkah dia menyediakan hidangan ringkas untuk anak-anak anda dan dirinya sendiri?

Jika dia akan tinggal dengan anda, tanya jika dia seorang vegetarian dan jika ada apa-apa makanan yang tidak disukainya. Anda tentu tidak mahu menghidangkan makanan yang tidak disukainya pada hari pertama dia bekerja! Jika dia vegetarian, adakah ini bermakna dia tidak sanggup menyediakan makanan berdaging untuk anak-anak anda?


9. Adakah dia sukakan haiwan? Jika tidak, dan jika anda mempunyai haiwan peliharaan, adakah dia selesa dengan keadaan ini?


10. Apakah kegemarannya?

Hobinya mungkin memberitahu anda sesuatu mengenai dirinya. Walau bagaimanapun, adalah berbaloi untuk mengetahui apa kegemarannya, terutamanya jika dia akan tinggal dengan anda. Jika dia sedang belajar bermain trompet, misalnya, anda tentu mahu tahu mengenai perkara ini.


11. Adakah dia berbakat dalam bidang muzik? Bolehkah dia menyanyi, bermain gitar atau piano? Sanggupkah dia menyanyi dengan anak-anak anda, mengajar mereka beberapa lagu dan sebagainya? (Lebih BAIK kalau pengasuh anda berkebolehan dalam bab-bab agama. Saya tidak mengesyorkan perkara2 yang melalaikan untuk diajar kepada anak kita)


12. Adakah dia bersedia membawa anak-anak pergi berenang setiap minggu?


13. Tanya pendapatnya tentang bagaimana anak-anak patut didisiplinkan. Adakah dia suka memukul atau lebih gemar berbincang?

Beritahu dia pendapat anda mengenai perkara ini hanya selepas dia mengemukakan pendapatnya.


14. Anda mungkin menimbangkan untuk berkongsi pengasuh pada masa-masa tertentu. Adakah dia sanggup menjaga anak orang lain dan juga anak anda pada masa yang sama untuk beberapa hari seminggu? Adakah dia sanggup dihantar kepada keluarga lain beberapa hari pada waktu pagi apabila anda tidak memerlukannya?


15. Adakah dia sanggup menolong dalam kerja-kerja rumah?

Tanya jika dia sanggup membuat kerja-kerja seperti menggosok, mencuci dan sebagainya. Anda tidak boleh melonggokkan kerja-kerja mencuci kepadanya selepas dia mula bekerja!


16. Jika dia akan tinggal dengan anda, pernahkah dia tinggal berjauhan dari rumah sebelum ini?


17. Jika dia tidak tinggal dengan anda, berapa jauhkah tempat tinggalnya dan berapa masa yang diambil untuk dia pergi ke rumah anda? Jika dia datang dengan keretapi, adakah alternatif laluan bas untuk diambil sekiranya mogok berlaku?

Saya pernah mempunyai seorang pengasuh yang tinggal berdekatan Heathrow – keadaan menjadi kucar-kacir apabila dia ketinggalan bas / keretapi. Fikirkan mengenai kesukaran perjalanannya (mungkinkah dia akan berasa bosan dengan situasi itu kemudian?) dan fikirkan mengenai kemungkinan berlaku mogok pemandu bas dan keretapi.


18. Adakah dia mempunyai teman lelaki atau pergantungan?

Soalan ini mungkin kedengaran aneh, tetapi saya pernah mempunyai pengasuh yang mempunyai anak. Dia tidak memberitahu saya tentang perkara itu semasa temuduga, dan memandangkan itulah pertama kali saya mengambil pengasuh, saya tidak terfikir untuk bertanya. Oleh kerana masalah boleh berlaku (jika anaknya sakit atau dia mempunyai masalah mendapatkan seseorang untuk menjaga anaknya), anda harus menimbangkan perkara ini.


19. Menjaga budak – jika dia tinggal bersama anda, dua atau tiga malam menjaga budak dikira sebagai sebahagian daripada tugas. Jika dia tinggal di luar, adakah dia mempunyai kesempatan untuk menjaga budak, dan berapa kadar sejam yang boleh dipersetujui bersama?


20. Jika anda menemuduga pembantu rumah, anda juga perlu bertanya berapa lama dia bercadang untuk tinggal di situ – ada yang datang untuk enam bulan, ada juga yang tinggal lebih lama. Biasanya anda tidak akan mendapat jawapan yang pasti daripada seorang pengasuh, tetapi cubalah. Seringkali pengasuh terlatih yang dalam tempoh percubaan akan tinggal selama 9 bulan.


21. Adakah dia bersedia untuk datang bagi temuduga kedua apabila anda telah bertemu dengan kesemua pemohon?

Ini sangat penting terutamanya jika anak-anak anda tiada semasa temuduga yang pertama kerana anda pasti mahu melihat bagaimana reaksinya terhadap mereka. Begitu juga jika anda menemuduga ramai pemohon. Anda boleh jadi kusut setelah menemuduga walaupun hanya enam pemohon dan bertanya soalan yang sama!


Soalan-soalan yang perlu anda jawab:
1. Mengapa pengasuh anda sebelum ini berhenti? Berapa lama dia telah bekerja dengan anda?
2. Apakah waktu kerja saya?
3. Berapa minggu cuti yang anda tawarkan; adakah gaji dibayar semasa cuti?
4. Bagaimana jika saya jatuh sakit?
5. Adakah anda akan menanggung cukai dan insuran?
6. Adakah tugas saya hanya mengasuh anak-anak atau adakah ia termasuk mencuci, menggosok dan sebagainya?
7. Adakah anda memerlukan saya untuk menjaga budak?
8. Saya seorang vegetarian, dan saya tidak selesa jika terpaksa memasak makanan berdaging. Adakah anda kisah?
9. Memandangkan saya akan tinggal bersama anda, adakah saya dibenarkan menjemput kawan-kawan datang pada waktu malam? Adakah masa-masa tertentu di mana saya perlu balik ke rumah?


Temuduga Yang Efektif
Sebagai seorang ibu atau bapa yang hendak menggaji seorang pengasuh, anda tentu prihatin terhadap isu semasa tentang kelayakan pengasuh.

Akhir-akhir ini, ada agensi yang membuka pendaftar persendirian mereka sendiri untuk menjalankan kempen mendesak kerajaan mengawal peraturan ini. Media juga kadang kala memperbesar-besarkan beberapa perkara.

Tetapi apa yang paling penting ialah ibu bapa harus mengendalikan sesi temuduga yang efektif sebelum mengambil seorang pengasuh. Menurut Rowena Whitlock dari Rhodes Interviews, ini ialah satu isu yang masih belum diberi perhatian oleh orang ramai. Saya telah bertanya kepada beliau untuk menerangkan perkara ini.

Menapis Permohonan
Kebanyakan ibu bapa bergantung kepada agensi untuk menapis dan meneliti permohonan; oleh itu, peranan mereka dalam proses ini hanyalah untuk “melihat samada mereka suka calon itu atau tidak.” Ibu bapa boleh dan harus mengambil tanggungjawab yang lebih besar di dalam memilih pengasuh. Samada menggunakan agensi atau tidak, proses temuduga hendaklah dilakukan dengan menyeluruh. Ia harus mendedahkan samada seorang calon itu bersesuaian dengan situasi anda.

Pekej Maklumat Penjagaan Anak
Ibu bapa yang kurang mahir dengan temuduga seringkali bergantung kepada organisasi tertentu untuk membekalkan pekej maklumat yang mengandungi senarai soalan yang perlu mereka tanya kepada calon-calon. Panduan ini memang berguna, tetapi ibu bapa perlulah ingat bahawa ini hanyalah panduan, di mana ia tidak menggambarkan tafsiran sebenar.

Pemeriksaan Polis
Mendapatkan rekod jenayah telah menjadi amalan biasa dalam menganalisa kelayakan seseorang calon itu. Tetapi adakah ia benar-benar membantu anda mengenali pengasuh anda?

Walaupun rekod jenayah adalah berguna, penting juga bagi kita melihat rekod itu dari perspektif lain. Sebagai bekas pegawai polis – dan mempunyai banyak pengalaman dengan penjenayah di bidang keselamatan – saya beranggapan bahawa rekod jenayah hampir sama dengan keputusan pemeriksaan HIV.

Seseorang calon itu mungkin disahkan ‘positif’, tetapi mereka mungkin tidak menunjukkan simptom-simptomnya semasa bekerja dengan anda. Sebaliknya, keputusan yang negatif hanya berguna pada hari mereka diperiksa – ini tidak bermakna mereka tidak akan menjadi ‘positif’ keesokan harinya. Rekod polis memang mengandungi maklumat penting, tetapi ia bukanlah sumber utama untuk mengenalpasti kejujuran seseorang pada masa hadapan.

Temuduga yang Efektif
Di tempat kerja, anda mungkin seorang penemuduga yang efektif, tetapi ketika menemuduga calon pengasuh, anda hendaklah lebih berhati-hati terutamanya kerana isu emosi yang melibatkan penjagaan anak dan keupayaan anda untuk menjaga keselamatan rumahtangga. Oleh itu, emosi anda mungkin tidak menentu sewaktu menemuduga, menyebabkan anda memilih calon yang salah. Dalam situasi ini, mengendalikan temuduga sendiri mungkin bukanlah cara yang terbaik bagi anda.


Temuduga yang efektif, lebih baik jika dihadiri oleh orang lain yang tiada kaitan dengan agensi anda, adalah jalan terbaik untuk anda memilih seorang pengasuh kerana:


* Temuduga yang objektif akan mendedahkan apa yang anda perlu tahu mengenai seseorang calon – bukan apa yang anda hendak dengar. Ini memberikan gambaran yang lebih baik mengenai bagaimana sikap calon itu sebagai pekerja. Dengan itu juga, anda dan juga calon tersebut tidak akan membuang masa.

* Seorang pengasuh yang baik akan merasa diri mereka dihargai jika mereka dilayan seperti seorang profesional di sebuah organisasi besar. Ini akan menanamkan kepercayaan dan kesetiaan yang tinggi yang tidak boleh dicapai melalui mana-mana alat pengawasan.


*Menjadi seorang pendengar yang baik, di mana anda tidak membuat andaian mengenai apa yang akan diperkatakan oleh calon tersebut, akan menjimatkan masa kerana anda tidak perlu meneliti semula apa yang diperkatakan. Tanpa anda sedar, anda telah melakukan analisa dan mengenalpasti keperibadian mereka. Perwatakan mereka biasanya akan terdedah sewaktu temuduga, memberikan anda cukup maklumat untuk mengenali mereka.

Tiada ulasan:

Iklan

IPMart Online Shopping
Belian dalam RM

Jom Borak


Free chat widget @ ShoutMix

Kerana Agama...

Kerana Agama...
Imam Nawawi