Iklan

Gambar Pilihan

Gambar Pilihan
9

Khamis, 26 Mac 2009

Bernafas Dengan Lebih Mudah Dengan Adhatoda



Oleh Soo Hoong Kun


Serangan lelah biasanya membuatkan seseorang yang kelihatan sihat berada di dalam keadaan tidak berupaya apabila mereka tercungap-cungap untuk bernafas. Ubat-ubatan moden mungkin perlu untuk mengawal serangan lelah yang teruk, tetapi alam juga mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi lelah dan masalah-masalah yang berkaitan dengannya.


Adhatoda (Adhatoda vasica) ialah sejenis herba yang terkenal kerana kemujarabannya dalam menangani masalah pernafasan.


Adhatoda yang juga dikenali sebagai Pokok Kacang Malabar, berasal dari India. Ia merupakan rumpun hijau yang kecil yang banyak tumbuh di kawasan tanah lapang terutamanya di kaki gunung di Himalaya. Ia mempunyai bunga besar berwarna putih dan daun sepanjang 10 hingga 15 cm.


Adhatoda yang banyak dijumpai di India telah lama digunakan dengan selamat dan berkesan untuk meredakan lelah dan bronkitis. Kesan penyembuhannya terdapat terutamanya pada daunnya. Daunnya kaya dengan vitamin C dan karotina. Rasanya pahit, dan apabila dikeringkan, baunya seperti bau teh. Daunnya mengandungi sumber ekspektoran (kahak yang mudah diluahkan) dan antispasmodik. Apa yang menarik, penduduk tempatan di India mengeringkan daun tersebut dan menghisapnya seperti rokok untuk meredakan lelah.


Akhir-akhir ini terdapat banyak perbincangan mengenai nilai herba ini di negara kita. Kemujaraban Adhatoda dalam mengubati lelah dikatakan terletak kepada tindakan ekspektoran dan kesan bronkodilator yang ada padanya. Bahan utama yang terdapat pada Adhatoda ialah vasicine, sejenis bahan beralkali yang merupakan sejenis ekspektoran dan bronkodilator.



Bahan-bahan ini memudahkan pembuangan kahak dari salur pernafasan (mencairkan kahak yang pekat). Ia juga membantu mengembangkan tiub-tiub bronkus, membuka saluran udara dan memudahkan pernafasan. Ubat bromhexine diperbuat daripada vasicine dan digunakan untuk membantu ekspektorasi dengan cara mengurangkan kepekatan rembesan.



Selain daripada kegunaannya dalam mengubati penyakit berkaitan pernafasan, Adhatoda juga digunakan untuk mengubati ulser perut, buasir dan menorrhagia. Jus daun segar dalam dos yang tinggi digunakan untuk mengubati batuk kering, cirit-birit dan buasir. Kajian ke atas tumbuhan ini juga menunjukkan ianya berkesan untuk meredakan pendarahan gusi dan gingivitis (radang pada gusi).



Selain daunnya, bunga, buah dan akar Adhatoda juga sangat berguna untuk mengubati selsema, batuk, batuk kokol dan bronkitis yang kronik serta lelah. Di India, bunga, daun, akar dan terutamanya buahnya dianggap sejenis antispasmodik yang mujarab bagi mengubati lelah dan demam yang berterusan.


Pakar herba sering mencampurkan Adhatoda dengan herba anti-alahan dan anti-mikrobial yang lain seperti Albizzia dan Pleurisy Root untuk menggalakkan dan menambah tindakan sinerginya. Herba-herba tambahan ini menggalakkan pengeluaran kahak, mengurangkan radang, membantu melegakan sesak nafas, melindungi dan melegakan membran mukus.



Secara keseluruhannya, penggunaan herba adalah berkesan dalam mengekalkan kesihatan sistem pernafasan dan untuk mengurangkan serangan yang teruk. Walau bagaimanapun, ingatlah bahawa bantuan perubatan juga diperlukan untuk kelegaan segera semasa serangan lelah yang teruk yang menunjukkan betapa seriusnya keadaan pesakit.


Perkara Biasa Yang Menyebabkan Lelah

Ini berlainan dari individu ke individu yang lain. Secara amnya, mengelakkan diri dari bahan-bahan yang menyebabkan serangan lelah seperti debunga, bulu binatang, habuk, kelembapan, pencemaran udara, udara sejuk dan asap rokok dapat membantu mengelakkan serangan. Ramai orang yang telah dapat mengelakkan serangan lelah dengan menghapuskan atau sekurang-kurangnya mengurangkan habuk dari persekitaran mereka.


Sesetengah jenis makanan mempunyai potensi untuk menyebabkan dan mencetuskan lelah dan oleh itu hendaklah dielakkan. Jenis makanan ini termasuklah produk tenusu (contohnya susu lembu, keju dan aiskrim), buah-buahan sitrus, kerang, telur dan kacang. Kebanyakan orang, terutamanya kanak-kanak, alah kepada pelbagai jenis pewarna, perasa dan pengawet tiruan.


Akhir sekali, tekanan ialah salah satu daripada faktor yang diketahui boleh menyebabkan serangan lelah. Pesakit lelah perlulah belajar beristirahat. Kaedah alternatif yang menekankan senaman pernafasan dan ketenangan merupakan cara yang berkesan untuk menangani tekanan. Senaman juga membantu mengekalkan kesihatan baik dari segi fizikal mahupun mental.



Soo Hoong Kun mempunyai kelayakan dalam bidang Mikrobiologi dan sedang mengikuti program diploma Charted Herbalist. Beliau boleh dihubungi di talian 03 - 7728 4789 (Isnin - Jumaat) atau e-mel hoongkun@biolife.com.my. Artikel ini adalah ihsan Bio-Life.

1 ulasan:

armouris berkata...

info tentang batuk kokol kat sini - Batuk Kokol

Iklan

IPMart Online Shopping
Belian dalam RM

Jom Borak


Free chat widget @ ShoutMix

Kerana Agama...

Kerana Agama...
Imam Nawawi