Iklan

Gambar Pilihan

Gambar Pilihan
9

Selasa, 27 Oktober 2009

7 Cara Menawan Wanita

Kaum wanita sering mengelirukan kerana mereka sendiri keliru tentang apa yang mereka inginkan daripada lelaki. Selalunya mereka (wanita) tahu apa yang mereka tidak mahu. Ditanya di mana mereka ingin makan, jawapan lazim orang perempuan ialah “Tak tahu. Ikut suka you” dan kemudian mereka tahu apa yang mereka tidak mahu apabila cadangan diberikan oleh teman lelaki mereka.


Lelaki: “KFC?”
Perempuan: “Tak nak lah”
Lelaki: “Carl’s Jr?”
Perempuan: “Tak nak lah”
Lelaki: “Then?”
Perempuan: “Tak tahu, ikut you” dan perbualan ini balik ke asal.


Dan orang lelaki pula sering terperangkap dalam dilema ini kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk menawan dan menggembirakan hati wanita.


Sebenarnya untuk memikat wanita tidaklah sesukar mana. Jangan kelirukan diri dengan memikirkan perkara yang sukar. Ikutilah tips mudah dari GUA untuk menawan hati wanita; tidak sesukar yang anda sangkakan.



Jadi Diri Sendiri
Lelaki selalu beranggapan bahawa untuk memikat hati wanita terutama wanita cantik, sesuatu harus dilakukan untuk membuatkan dia kagum denganmu. Sebagai contohnya, anda tidak menjadi diri anda, sebaliknya menjadi lelaki yang anda rasa wanita suka. Lantas, anda bertutur dengan tertib sehingga membosankan dan melakukan perkara-perkara yang diharapkan oleh wanita seperti buka pintu kereta, tarik kerusi sebelum dia duduk dan sebagainya. Kalau semua yang anda lakukan ini perkara biasa yang memang anda ingin lakukan, mungkin tidak mengapa. Tetapi jika anda lakukan sekadar untuk membuat dia terpikat, berhenti! Wanita lebih gemarkan lelaki yang ori atau dalam erti kata lain, lelaki yang jadi diri dia sendiri.


Kawal Keadaan
Mungkin anda rasakan jika wanita diberi ‘kuasa’ untuk mengawal keadaan, mereka akan suka. Logik anda ialah jika anda membuat dia rasa bahawa dia telah berjaya memikat dirimu, dia akan suka. Jangkaan ini tidak tepat kerana wanita suka kepada lelaki yang pandai kawal keadaan dan pastikan dia tahu yang dia pilihanmu dan bukan sebaliknya. Anda telah memilih dia dan dia harus gembira dengan hakikat itu.


Bijak Meredakan Ketegangan
Wanita paling benci berada dalam keadaan tegang. Apabila tidak sependapat atau berdiskusi tentang apa-apa isu hangat, jangan biarkan emosi memandu anda. Biarkan wanita dengan emosi mereka dan mereka inginkan anda meredakan ketegangan yang ada. Isu yang tidak selesai hanya akan menjadikan perasaan serba salah merebak kepada perasaan yang lebih membahayakan. Tunjukkan pada dia yang anda tidak terjebak dalam emosi yang boleh memusnahkan perhubungan. Jika anda matang mengawal ketegangan, wanita akan tertarik kepadamu.


Imej Nakal
Imej budak baik atau anak emak tidak popular di kalangan wanita kecuali di kalangan ibu mereka. Wanita lebih tertarik kepada imej lelaki nakal. Jangan berpakaian umpama nak pergi temuduga apabila berjumpa dia. Biar anda kelihatan sedikit selekeh tetapi seksi, biar renungan anda meremangkan bulu roma dia, biar kerlingan anda membuat dia rasa teruja.


Selamba & Selesa
Perasaan gementar, kalut, gelabah pada orang lelaki tidak digemari wanita. Mereka lebih menggemari orang lelaki yang selesa bersama dengan mereka, yang boleh berborak, berjenaka, berkongsi cerita, mendengar masalah mereka. Biarkan wanita yang gementar ketika ingin bertemu dirimu, biarkan dia yang gelabah dan berdebar-debar apabila berhadapan denganmu. Apabila anda cool dan selesa apabila bersamanya, anda nampak seksi sekali.


Jangan Gopoh
Apa-apa pun yang ingin anda dilakukan, jangan lakukan dengan gelojoh. Relaks, ambil masa dan sabar. Buat-buat macam anda tidak terdesak langsung dalam hidup. Wanita tidak gemari lelaki yang beriya-iya bagaikan tiada hari esok. Praktikkan kesabaran ini dalam semua aspek hidup anda, ketika makan terutamanya.


Yakin
Tiada apa yang lebih menarik daripada seorang lelaki yang cukup yakin dengan dirinya. Elakkan terlebih yakin pula. Jangan teragak-agak atau sering tidak pasti dalam membuat keputusan. Jika wanita anda tidak tahu ke mana nak makan, perbualannya harus begini.


Lelaki: “Mana nak makan?”
Perempuan: “Tak tahu, ikut you”
Lelaki: “Carl’s Jr.”
Perempuan: “Ok” (mungkin dia tidak suka tetapi kerana anda yakin, dia akan ikut dengan hati yang rela kerana keputusan telah dilakukan dan anda bertanggungjawab ke atas keputusan itu)


Selasa, 6 Oktober 2009

Kebaikan Merancang Keluarga

SIBUK menguruskan anak yang berderet bilangannya, mungkin banyak perkara terlepas pandang. Rumah sudah tidak rapi seperti dulu. Berdandan untuk diri sendiri pun tidak sempat. Malah, waktu untuk suami mungkin terpaksa dikorbankan.


Apabila diajukan soal merancang keluarga, pelbagai pandangan timbul di kalangan pasangan suami isteri.


Ada yang menyamakannya dengan pembunuhan anak atau bertentangan dengan konsep qada dan qadar. Tidak kurang pula beranggapan merancang keluarga menafikan ketentuan Allah memberi rezeki serta berlawanan dengan konsep umat yang ramai.


“Hakikatnya, masyarakat harus berfikiran jauh dalam soal perancangan keluarga.


“Ia bukan perkara remeh malah dalam sesetengah keadaan, ia perlu dilakukan untuk mengembalikan keintiman suami isteri,” kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang juga Ketua Unit Merancang Keluarga Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Harlina Halijah Siraj.


Pada masa sama, ia mengelak isu anak terbiar yang boleh mendorong terjebak kepada gejala keruntuhan akhlak.


“Memang tiada kajian khusus dijalankan tetapi difahamkan kebanyakan anak-anak yang menghuni pusat pemulihan akhlak mengatakan diri mereka tidak diingini.


“Justeru, tak mustahil jika gejala anak terbiar berlaku kerana ibu bapa tak merancang bilangan anak menyebabkan mereka tiada persediaan untuk memiliki keluarga besar,” katanya.


Perancangan keluarga, menurutnya, adalah tanggung jawab ibu bapa yang bukan semata-mata untuk mengurangkan bilangan anak.


Perancangan keluarga adalah sebahagian perancangan hidup berkeluarga, merangkumi konsep menjarakkan kehamilan dan membantu pasangan yang sukar memperoleh cahaya mata.


Keupayaan membentuk keluarga ditunjangi lima perkara asas iaitu kesejahteraan fizikal, kemampuan ekonomi, keupayaan emosi, kelapangan masa dan sokongan sosial.


Baik si isteri mahupun suami, perancangan keluarga dapat membantu meningkatkan hubungan suami isteri yang lebih berkualiti selain waktu untuk anak-anak dan diri sendiri.


Dari segi kesihatan, menjarakkan kehamilan membolehkan si ibu mempunyai masa untuk berehat.


Malah, ibu yang hamil lebih daripada lima kali banyak dikaitkan dengan kadar kepucatan yang tinggi semasa hamil, kadar kematian ibu yang lebih tinggi serta keadaan mental dan emosi yang tidak stabil.


“Untuk suami, menjarakkan kehamilan menjamin kemesraan suami isteri yang berkekalan serta membantu mereka membuat perancangan daripada aspek ekonomi dan pembangunan keluarga dengan lebih baik.


“Apabila bercakap mengenai hak anak, ramai menekankan sumber halal untuk membesarkan anak.


“Tetapi, hak anak cukup luas, termasuk untuk hidup, mendapatkan ketulenan baka, diberi nama yang baik, disediakan keperluan asas termasuk penyusuan ibu serta diasingkan tempat tidur.


“Anak juga berhak mendapatkan pendidikan agama yang sempurna, diberi pelajaran dan asas kemahiran hidup dan diberi layanan saksama,” katanya.


Menurutnya, selepas disemak secara menyeluruh, tidak ada nas dalam al-Quran yang melarang usaha menghalang kehamilan atau mengurangkan bilangan anak.


Seorang sahabat Nabi Muhammad (saw), Jabir meriwayatkan:


“Kami mengamalkan al-azl (coitus interruptus) ketika zaman Rasulullah (saw). Baginda mengetahuinya namun baginda tidak melarang kami melakukannya. Sahabat yang mengamalkan al-azl termasuk Ali Abi Talib, Saad ibn Waqqas, Abu Ayyub Al-ansari, Abdullah bin Abbas dan Hassan ibn Ali.”


Beliau berkata, fatwa mengenai perancangan keluarga seperti dikemukakan ulama terkenal, Dr Yusuf al-Qardhawi membenarkan umat Islam merancang keluarga atas alasan kukuh.


“Alasannya membabitkan kesihatan ibu serta bebanan anak hingga menyebabkan seseorang melakukan perkara haram untuk memenuhi keperluan hidup. Alasan lain termasuk keadaan kesihatan dan pembesaran anak.


“Dr Yusuf turut mengesahkan bahawa kaedah perancangan moden mempunyai tujuan serupa dengan coitus interruptus (membuang air mani di luar vagina) dan dari sudut perbandingan, ia dibolehkan,” katanya.


Dr Harlina berkata, pengguguran bukan kaedah merancang keluarga apatah lagi pengguguran memang tidak dibenarkan di negara ini kecuali membabitkan kesihatan atau nyawa si ibu.


Kaedah merancang keluarga juga pelbagai termasuk hormon menerusi penggunaan pil, suntikan dan pacakan (implan), alat dalam rahim, cara kiraan hari selamat, sterilisasi, membuang sperma di luar dan kondom.


Oleh Rahayu Mohd Salleh

Iklan

IPMart Online Shopping
Belian dalam RM

Jom Borak


Free chat widget @ ShoutMix

Kerana Agama...

Kerana Agama...
Imam Nawawi